Tinggallah Ingatan Rakan-rakan Blogger Di sini

Daisypath Anniversary tickers

Wednesday, 6 July 2011

Tanggungjawab Terasa Bak Bebanan

“ Ha..cepat apa lagi yang nak dibeli ni? abang ada banyak kerja lagi selepas ni,” kata seorang suami yang sedang membeli belah bersama anak dan isteri.

Si isteri yang sedang memilih barang, terhenti keinginan untuk membeli. Keluar bersama yang dirasakannya mampu menyemarak hubungan kasih dan mesra sesama keluarga, rupa-rupanya hanya sekadar memenuhi kewajipan tapi kosong dari rasa cinta. Segalanya kerana terpaksa demi memenuhi kewajipan berkeluarga.

“ Tak apalah, bang. Cukup dah rasanya ni,” jawab si isteri serba salah. Anak-anak pula hanya memandang dengan perasaan gelisah.

“ Mengapa ayah selalu terburu-buru. Tidak bahagiakah keluar bersama kami ?” demikian detik hati anak-anak.

Mungkinkah begitu juga hubungan kita dengan Allah yang Menciptakan. Tanggungjawab yang diperintahkan seperti solat, puasa, membayar zakat dan lain-lain hanya demi menunaikan kewajipan semata-mata, bukan kerana cinta kepadaNya. Bila selesai kewajipan dilaksana, terasa ringan bagai melepas beban di atas kepala. Tanggungjawab itu suatu bebanan, perlu segera dilepaskan. Begitukah kita ?

“ Dah wajib, nak buat macam mana, “ kata seorang wanita kepada rakannya tatkala membicarakan kewajipan menutup aurat. Kata-kata yang menunjukkan tidak redha terhadap kewajipan yang diperintahkan. Buat, tapi tidak rela. Taat, tapi kerana terpaksa.


CARA MENYINTAI-NYA


Kita masih belum terlambat. Selagi nafas masih ada, ruang kembali bercinta kepadaNya terbuka luas. Bagaimana caranya ?

1)Hayati sifat-sifat Allah Yang Maha Sempurna – pepatah mengatakan, ‘tak kenal maka tak cinta’. Manfaatkan segenap pancaindera yang ada untuk mengenal Pencipta. Dari mata turun ke hati, dari telinga terbit rasa suka, lalu dengan lidah, alunan zikir sentiasa berkumandang menyatakan rasa cinta kepada Allah SWT. Seterusnya, tubuh ikut ruku’ dan sujud menyembah yang Esa, penyembahan yang sebenar ikhlas kerana kasih setia kepadaNya. Sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Daripada Abu Hurairah radiallahu anhu berkata : Berkatanya Rasulullah sallallahu alaihi wassalam :
“Sesungguhnya allah Taala telah berkata : Barangsiapa yang memusuhi wali ku  maka Aku akan isytiharkan perang baginya,dan perkara yang dapat mendekatkan diri seorang hamba kepadaKu ialah pada apa yang Aku sukai terhadap kewajipan-kewajipan yang telah Aku wajibkan ke atas mereka,dan seorang hamba itu tidak akan dapat mendekatiKu dengan melakukan perkara-perkara sunat sehinggalah Aku mencintainya,jika Aku sudah mencintai dirinya,maka Akulah pendengarannya pada apa yang didengarinya,dan Akulah penglihatannya pada apa yang dilihatnya,dan Akulah tangannya pada apa yang dilakukannya,dan Akulah kakinya pada setiap yang dilaluinya,dan jika dia meminta kepadaKu maka pasti Aku akan memberinya,dan jika dia minta dilindungi,maka Aku pasti akan melindunginya”
( Riwayat Imam Bukhari bernombor 6502 dan Imam Baihaqi bernombor 219/10 pada sunan beliau ).


Seterusnya apabila datang sebarang musibah dan dugaan hidup, semua itu dapat dihadapi dengan sabar dan berbaik sangka kepada Nya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Tiada seorang mukmin ditimpa kesakitan, kepayahan, penyakit, kesedihan hatta duri yang menusuk, kecuali dengan itu menghapuskan dosa-dosanya." (Riwayat Al Bukhari )

2)Merasakan kecintaan kepada Rasulullah SAW sebagai melaksanakan perintah Allah, bahkan cinta kepada Baginda dikehadapankan berbanding kecintaan kepada diri dan keluarga sendiri. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.’ Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” ( Surah Ali-Imran ayat 31).

Cinta yang dirasakan terhadap Baginda Rasul Junjungan meresap ke dalam hati lalu diterjemahkan kepada sifat-sifat mahmudah dan menjauhi sifat mazmumah. Kesempurnaan Rasulullah dihayati dan diyakini bahawa padanya terkumpul segala kesempurnaan seorang manusia baik bentuk fizikal mahupun akhlak lahiriahnya. Hanya Rasulullah sebaik-baik ikutan untuk menyintai Yang Maha Menciptakan.


3)Cintai diri dan keluarga kerana Allah semata-mata. Sentiasa memaksa diri melakukan yang terbaik untuk akhirat yang kekal abadi kerana di sana Cinta Ilahi yang abadi dan kekal sedang menantinya. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” ( Surah At Tahrim ayat 6)


MARI MENYINTAI-NYA


Akhirnya, mari kita mulakan langkah untuk membuktikan bahawa DIA kita cinta. DIA kita sayang dan DIA sentiasa kita peduli.

Walau nanti kita terlantar sakit dengan mata yang tidak lagi boleh melihat, telinga yang tidak mampu lagi mendengar, lidah dan bibir yang tidak mampu lagi mengalun zikir atau anggota yang tidak boleh lagi beribadah kepadanya, yakinlah bahawa kita masih ada sekeping hati yang sentiasa segar membisikkan kalimah cinta kepadaNya. Hati yang nantinya di sana menjadi bahan bukti bahawa hanya Allah, DIA yang paling kita kasihi.

Mencari dan mencari cinta Ilahi.




No comments:

Post a Comment

kalam Allah di Bumi Rayyan

Listen to Quran

REHLAH DI KOLAM RAYYAN