Tinggallah Ingatan Rakan-rakan Blogger Di sini

Daisypath Anniversary tickers

Wednesday 17 August 2011

Bolehkah Manusia Berkahwin dengan JIn

Beberapa hari lalu ada seorang pelajar bertanya berkaitan perkahwinan antara manusia dan jin. Jenuh juga mencari buku-buku rujukan berkaitan hal ni.  Tengah mencari mamaku dengan senang hati mempelawa buku yang dibacanya karangan Tuan Guru Dato' Dr Haron Din, "Menjawab Persoalan Makhluk Halus Kaitannya Dengan Penyakit dan Pengubatan. dalam buku ada diberi jawapan berkaitan persoalan ini.

Beliau menyatakan bahawa makhluk ini wujud dan boleh meyerupai rupa bentuk yang mereka kehendaki dengan izin Allah swt. Hanya yang menjadi persoalan boleh atau tidak mereka berkahwin dengan manusia?.

Daripada sumber sejarah, kita pernah mendengar Puteri Balqis seorang raja di zaman Nabi Sulaiman as., bapanya manusia sementara ibunya Balqmah binti Saisan dari kalangan jin. Dalam sebuah hadith daripada Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

"Salah seorang daripada ibu bapa Balqis ialah jin."

Namun dari sudut hukum pula Allah SWT berfirman dalam surah al-Nahl ayat 72 yang bermaksud:

"Dan Allah menjadikan bagi kamu dari jenis kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri)..."

Firman Allah SWT dalam surah al-Rum ayat 21 yang bermaksud:

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat Allah, bahawa Dia menciptakan untuk kamu ( wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bahagia dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu ( suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan."

Daripada kedua - dua ayat ini jelas bahawa pasangan hidup manusia adalah manusia juga, yang membolehkan kita rasa tenang, mentautkan kasih sayang dan saling mempercayai antara satu sama lain. Sekiranya isteri atau suami kita dari kalangan jin atau makhluk halus yang mungkin kita sahaja boleh melihatnya dan tidak oleh orang lain ataupun kita sendiri pun tidak boleh melihat mereka, bagaimana kita boleh mendapat ketenangan sepanjang kita melayari bahtera rumahtangga. Bagaimana kita nak meyakinkan orang lain bahawa kita telah berkahwin....?

Oleh itu dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Yunus bin Yazid daripada al-Zuhri katanya, Rasulullah SAW menegah manusia mengahwini jin. Berpandukan ayat-ayat dan hadith di atas, jumhur ulama' berpendirian tidak harus manusia mengahwini jin. Jika berlaku perkahwinan, maka perkahwinan itu tidak sah. Jika berlaku perhubungan jenis, mereka dikira bersekedudukan dalam keadaan haram. Tetapi ada juga pendapat ulama yang menyatakan perkahwinan tersebut adalah makruh seperti Imam Malik bin Anas.

Sebagaimana yang kita ketahui syarat sah perkahwinan yang paling utama adalah agama sedangkan  berkaitan dengan jin atau makhluk halus ini tidak dapat kita pastikan keislaman mereka (jika ia mengaku jin Islam) kerana bolehkah kita terima pengakuan lisan daripada jin...hatta ia mengaku mempunyai pengetahuan yang luas tentang Islam pun kita masih boleh pertikaikan sebab di kalangan manusia yang kafir pun ada yang berpengetahuan luas tentang Islam bahkan ada yang menghafaz al-Quran dan Hadith (golongan Orientalis).

Dalam hal ini saya bersetuju dengan Tuan Guru Dato' Dr Haron Din yang menyatakan perkahwinan yang terbaik adalah sesama manusia. Hal ini telah disebut oleh Rasulullah SAW dalam hadith baginda yang diriwayatkan oleh al Hakim daripada Aisyah ra yang bermaksud:

" Kahwinilah perempuan-perempuan manusia, kerana mereka boleh mendatangkan harta."

Wallahu 'Alam.

No comments:

Post a Comment

kalam Allah di Bumi Rayyan

Listen to Quran

REHLAH DI KOLAM RAYYAN